Mee rebus

September 23, 2009

Assalamualaikum wbt, dan selamat hari raya aidilfitri kepada semua pengunjung blog “Saya Suka Masak”.. Hari raya ketiga, saya ada memasak mee rebus sempena kedatangan sedara mara belah mama saya :D . Mee rebus ini saya buat untuk lebih kurang 10 orang makan.

Bahan-bahannya:

+ Daging lembu
+ 4 biji keledek
+ 4 biji kentang
+ 1 cawan udang kering
+ 4 sekawan; kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, biji pelaga
+ 4-6 helai daun pandan
+ 4 biji bawang besar – dikisar
+ 7 ulas bawang putih – dikisar
+ 2 inci halia – dikisar
+ 4 batang serai – diketuk
+ 2 inci lengkuas – diketuk
+ 2 cawan serbuk kari daging
+ 1 sudu serbuk jintan manis
+ 1 sudu serbuk jintan putih
+ ½ sudu serbuk ketumbar
+ 3 kotak santan segera
+ 1-2 ketul gula melaka
+ garam secukup rasa

Bahan-bahan sampingan

+ Spaghetti
+ Taugeh
+ Bawang goreng
+ Tauhu goreng
+ Cili merah
+ Cili hijau
+ Daun bawang
+ Telur rebus
+ Limau nipis

mee-rebus01

Ok langkah pertama sekali, rebus daging terlebih dahulu sehingga daging empuk (lembut).

mee-rebus02

Rebus ubi keledek dan ubi kentang bersama udang kering sehingga ubi menjadi empuk.

mee-rebus03

Panaskan minyak, tumiskan 4 sekawan dan daun pandan sehingga naik bau.

mee-rebus04

Kemudian tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar sehingga naik bau dan garing sedikit. Masukkan juga serai dan lengkuas yg telah diketuk.

mee-rebus05

Bancuhkan serbuk kari daging bersama-sama serbuk jintan manis, jintan putih dan ketumbar dengan air. Selepas itu masukkan bancuhan tadi ke dalam periuk. Kacau dan biar bancuhan kari tadi masak sebentar. Masukkan 2 cawan air supaya bancuhan kari tidak terlalu pekat. Pastikan kari benar-benar masak, jika tidak kemungkinan mee rebus kita akan menjadi pedas.

mee-rebus06

Ubi keledek & ubi kentang yang telah direbus, dikisar sehingga hancur. Kemudian masukkan ke dalam periuk dan kacau. Jika kuah mee rebus ini terlalu pekat, masukkan sedikit air. Biarkan ia masak sebentar.

mee-rebus07

Disebabkan banyak kedai-kedai tutup sempena cuti hari raya ini, kita boleh gunakan santan kotak segera. Santan kotak segera ini tanpa kolestrol. Pastikan anda sentiasa kacau kuah ini supaya ia tidak pecah santan dan berketul-ketul.

mee-rebus08

Sekarang masukkan pula rebusan daging tadi bersama air rebusannya. Kacau dan biarkan ia masak sebentar.

mee-rebus09

Masak gula melaka di dalam periuk berasingan dengan air, supaya kita dapat menapis gula melaka ini dari bendasing yang terdapat pada gula melaka tersebut. Untuk kuah mee rebus ini, saya menggunakan 2 ketul gula melaka. Pada mulanya saya cairkan gula melaka pertama dahulu supaya saya dapat memastikan rasa kuah mee rebus mendapat sukatan dengan betul.

mee-rebus10

Bila air gula sudah ditapis, masukkan ke dalam kuah mee rebus dan kacau sehingga sebati. Masukkan garam secukup rasa dan biar ia masak sebentar dan biar ia pekat sedikit. Jika kuah terlampau pekat, masukkan 1 cawan air panas.

mee-rebus11

Dah siap pun kuah mee rebus. Saya menggunakan spaghetti menggantikan mee kuning kerana mee kuning menggandungi bahan-bahan makanan tidak sihat untuk badan kita. Makan mee rebus ini bersama-sama telur rebus, taugeh, cili merah & hijau, daun bawang dan bawang goreng. Perahkan air limau juga :)

4 Responses to “Mee rebus”

  1. whiteMelur said

    bila lah gwe dapat rasa masakan kau nie CHEF!!

  2. abanglong said

    salam.

    first time singgah… waaah best best best !! me oso suka masak time tension tension. great blog!

Leave a Reply